10 kontena kelapa diimport dari Indonesia ke Pahang - Utusan Malaysia

10 kontena kelapa diimport dari Indonesia ke Pahang

SIM Chon Siang (tengah) menyampaikan barang keperluan dapur kepada seorang penerima sempena pembukaan pasar raya kedua BS Freshmart di Bandar Baru Jerantut di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan negeri menerusi sebuah agensi mengimport 10 kontena kelapa dari Indonesia untuk keperluan rakyat Pahang terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, dengan membawa masuk bekalan kelapa luar itu, orang ramai tidak perlu bimbang akan berdepan masalah kekurangan kelapa dan santan untuk kemudahan penduduk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Kemudahan bekalan ini juga dapat menurunkan harga santan kepada RM20 sekilogram mulai minggu ini berbanding sebelum ini ada kalangan peniaga di negeri ini mengenakan harga RM22 hingga RM24 bagi berat yang sama.

“Jadi saya ingin tegaskan negeri ini tidak mengalami kekurangan kelapa dan santan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini dan penduduk boleh membeli kelapa dan santan di pasar dan tempat jualan dengan harga RM20 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan kedua Pasar Raya BS Freshmart di Bandar Baru Jerantut di hari ini.

Pada majlis itu, Chon Siang turut menyampaikan barangan keperluan dapur dan duit raya daripada pengurusan pasar raya tersebut kepada seramai 60 orang ketua keluarga yang kurang berkemampuan sekitar bandar Jerantut.

Dalam perkembangan sama, Chon Siang berkata, hanya satu aduan diterima daripada pengguna yang melaporkan jualan santan yang tidak halal di sebuah kedai di Kuantan dalam tempoh bulan Ramadan ini.

“Setelah disiasat oleh sebuah agensi, aduan itu nyata tidak benar sama sekali. Santan berkenaan didapati dibawa masuk daripada negara Thailand sebenarnya halal.

“Saya berharap pengguna janganlah membuat penyebaran perkara tidak benar terutama berkaitan harga dan kualiti barang yang dijual sehingga meragukan atau ketidakselesaan orang ramai berbelanja lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN