10 banduan bebas berlesen diberi peluang kedua, bekerja di bazar Aidilfitri Dataran Sekilau - Utusan Malaysia

10 banduan bebas berlesen diberi peluang kedua, bekerja di bazar Aidilfitri Dataran Sekilau

ABU HASAN Hussain (tengah) dan Shafieq Johari (kanan) pada Program Outreach Jabatan Penjara Pahang bersama Komuniti di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 10 banduan di bawah program Orang Bebas Berlesen (OBB) diberikan peluang kedua kembali bersama komuniti dan mengubah diri dengan bekerja di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini.

Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain berkata, sejak mula bertugas di bazar tersebut bermula awal Ramadan lalu, maklum balas diterima daripada pihak majikan adalah positif dan berhasrat menambah bilangan OBB dalam memberikan peluang kedua dengan menyediakan pekerjaan yang baik.

“Ini kali kedua pihak penganjur bazar tersebut mengambil OBB, kali pertama pada tahun lalu membabitkan enam orang banduan.

“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana terus berani untuk mengambil OBB. Ini merupakan satu kepercayaan dan ia tidak akan berlaku tanpa komitmen pihak penganjur dan keberanian membawa OBB dalam program besar seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Outreach Jabatan Penjara Pahang bersama Komuniti di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini semalam.

ABU Hasan Hussain (kiri) dan Shafieq Johari (kanan) melihat baju Melayu yang dijual di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di Kuantan, Pahang.

Mengulas lanjut, Abu Hasan berkata, OBB yang diambil bekerja di bazar Aidilfitri Dataran Sekilau juga gembira kerana masih diterima dan diberikan peluang kedua oleh masyarakat.

“Majikan dan penjual di bazar ini juga selesa dengan kehadiran mereka dan tanggapan tidak baik sebelum ini adalah tidak benar,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihak Jabatan Penjara berterusan membuat hebahan kepada keluarga dan masyarakat supaya memberikan peluang kedua kepada banduan ataupun disebut prospek untuk membetulkan kesalahan lalu.

“Apabila prospek diberikan kepercayaan dan peluang kedua, ia dapat mengurangkan kesesakan dalam penjara sekali gus mencapai hasrat jabatan, dua pertiga prospek menjalani hukuman dalam komuniti pada tahun 2030 kelak,” katanya.

Sementara itu, penganjur Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025, Shafieq Johari berkata, persepsi negatif masyarakat yang masih menebal terhadap banduan dan bekas banduan harus diubah dalam usaha membantu golongan tersebut kembali diterima dalam masyarakat.

“Sejak tahun lalu dan hampir sebulan bersama kita pada tahun ini, saya setiap hari memerhati dan memantau mereka. Bagi saya mereka cukup baik bekerja dan dalam tempoh terbabit langsung tiada aduan daripada peniaga tentang mereka.

“Bagi saya, mereka lebih mudah faham arahan berbanding pekerja lain, buat kerja tanpa disuruh dan betul-betul mahu bekerja demi mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Menurutnya, daripada menggajikan pekerja dalam kalangan warga asing yang gajinya lebih mahal, adalah lebih baik mengambil OBB bagi memberikan peluang kepada golongan itu untuk berubah dan kembali diterima masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN