Zakat fitrah Perlis ditetapkan RM9 - Utusan Malaysia

Zakat fitrah Perlis ditetapkan RM9

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan kadar zakat fitrah Perlis pada Majlis Rukyah Hilal Ramadan di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Perlis ditetapkan RM9 pada tahun ini.

Kadar zakat fitrah di negeri ini bagi tahun 1446 Hijrah itu telah diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Kadar ini ditetapkan berdasarkan harga beras Ghalib Qut al-Balad sebagai asas kiraan.

Bagi umat Islam yang memilih untuk menunaikan zakat fitrah dengan beras, kadar yang ditetapkan ialah satu gantang Nabawi seorang, bersamaan 2.6 kilogram.

Pelancaran zakat fitrah tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Rukyah Hilal Ramadan di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis hari ini.

Berangkat mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, setiap umat Islam yang menetap atau berada di Perlis diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri serta tanggungan mereka.

“Pembayaran boleh dilakukan melalui amil-amil yang dilantik secara rasmi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atau menggunakan kaedah pembayaran dalam talian yang telah disediakan bagi memudahkan urusan masyarakat,” titah baginda.

Dalam pada itu, MAIPs turut mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan zakat fitrah, sama ada dengan sengaja atau melalui cara yang tidak sah boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan sedia ada.

Dalam pada itu, sebagai langkah menggalakkan umat Islam meningkatkan amal kebajikan sempena bulan Ramadan, baginda turut berkenan melancarkan kempen kesedaran amalan berwakaf dan berinfak 2025.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf dan infak dalam pembangunan institusi Islam serta memperkukuhkan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan masyarakat Islam di Perlis lebih peka terhadap tanggungjawab sosial mereka, selain membantu memperkasakan institusi wakaf dan infak dalam usaha memperkukuhkan ekonomi ummah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya