Warga Bangldesh didenda RM2,000 cederakan, kurung wanita lembam

Warga Bangldesh didenda RM2,000 cederakan, kurung wanita lembam

TERTUDUH (baju putih) diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. –utusan/MUHAMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pembantu kedai runcit warga Bangladesh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mencederakan dan mengurung seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) lembam secara salah, tahun lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Miah Md. Rokib, 22, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Miah bersama-sama seorang rakan sejenayah yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7 malam di sebuah unit bernombor, di Pangsapuri Kesidang, Taman Tasik Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Oktober 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang rakan sejenayah turut didakwa mengikut Seksyen 342 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana mengurung wanita itu secara salah pada waktu, lokasi dan tarikh sama.

Mengikut fakta kes, ketika berada di belakang rumah pada pukul 7 malam, mangsa didatangi dua lelaki Bangladesh yang membawanya masuk ke sebuah rumah di pangsapuri berkenaan dan dikurung.

Mangsa yang juga OKU lembam berjaya diselamatkan oleh keluarganya kira-kira 30 minit kemudian yang membuat pencarian di sekitar pangsapuri itu.

Mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit dan mengalami kecederaan di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Norhayati Yusof manakala tertuduh diwakili peguam K. Ramalingam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya