PASIR MAS: Seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 semasa majlis kenduri di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu berjaya diberkas polis.
Suspek berusia, 61, di berkas pada pukul 2.35 petang dihadapan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu dekat sini semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan sebuah teksi jenis Nissan Sentra yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, selepas menahan kereta itu anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan wanita dan lelaki itu tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.
“Siasatan awal terhadap wanita warga emas itu mendapati, suspek mengaku bertindak mencuri wang milik pengadu sebanyak RM2,500 semasa berada di kenduri rumah mangsa.
“Pemeriksaan mendapati, warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kama Azural memberitahu, pemandu teksi yang merupakan rakan wanita tersebut turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait kes mencuri di Kota Bharu.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majisret Pasir Mas disini pada pukul 8 pagi esok untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, majlis kesyukuran anjuran sebuah keluarga di Pasir Mas bertukar suram apabila beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 telah dilarikan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu pada 1 Februari lalu.-UTUSAN