PASIR MAS: Seorang wanita warga emas pitam selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam bagi pertuduhan menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang RM2,500 di sebuah majlis kenduri di Tasek Berangan pada 1 Februari lalu.
Tuan Maimun Che Tuan, 61, hampir rebah semasa membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi selepas anggota polis mengemukakan bukti-bukti kes.
Situasi menyebabkan prosiding pendakwaan ditangguh selama 10 minit bagi memberi ruang kepada Tuan Maimun bertenang.
Wanita itu didakwa mencuri dalam bangunan iaitu wang RM2,500 milik Norhayati Mohd. Noor, 59, di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini, kira-kira pukul 12.42 tengah hari pada 1 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan bagi kesalahan kedua, penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara 24 bulan bermula 9 April 2003 di Mahkamah Majistret Bachok dan 10 bulan penjara bermula 20 April 2011 di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat.
Terdahulu, Syazalia memohon hukuman yang setimpal kerana mengambil kira kepentingan awam dan mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM2,500.
Nur Amira dalam rayuannya memaklumkan tertuduh yang merupakan ibu kepada enam anak tinggal seorang diri selain mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan masih dalam rawatan selepas menjalani pembedahan usus.
“Pengakuan bersalah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa mahkamah. Justeru, tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minimum,” katanya.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara 24 bulan bermula tarikh sabitan dan denda RM3,000 dengan tambahan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes, Norhayati ke rumah ibunya di Kampung Tasek Berangan untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara sebelum meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur rumah tersebut.
Mangsa mendapati beg tangan berisi wang RM2,500 yang diletakkan di atas almari hilang semasa mahu pulang.
Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup di bahagian dapur rumah itu menunjukkan tertuduh mengambil wang tersebut dan meninggalkan beg tangan mangsa di atas almari pinggan berhampiran tandas bahagian dapur rumah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang RM2,500 semasa majlis kenduri di Kampung Tasek Berangan diberkas polis di hadapan masjid di Kota Bharu semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun.