SHAH ALAM: Selangor menyita tiga ladang babi di negeri ini termasuk di Sepang dan Kuala Langat selepas ternakan di sana disahkan positif wabak demam babi Afrika (ASF) baru-baru ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, penutupan itu termasuk dua kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah iaitu Sungai Blankan, Sepang dan Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Veterinar) menerima maklumat mengenai jangkitan ASF ke atas sejumlah babi di beberapa ladang di dua daerah itu, 22 Januari lalu, pemeriksaan rapi kemudian segera dijalankan ke atas 29 ladang yang melibatkan 25,000 ekor babi bagi mengesahkan wabak tersebut.
“Keputusan analisis sampel yang diterima Veterinar Selangor sehingga semalam mendapati tiga daripada ladang itu sah dijangkiti ASF.
“Kesemua babi yang diperiksa itu diperintah kepada penternak untuk dikuarantin selaras peruntukan Subseksyen 18 (2) Akta Binatang 1953 (Akta 647),” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Bulan lalu, kerajaan Sarawak mengeluarkan arahan larangan import dan produk daging babi dari Sabah berkuat kuasa serta merta susulan pengesanan wabak itu di Keningau.
Pengarah Veterinar Sarawak, Datuk Dr. Adrian Susin Ambud memaklumkan bahawa larangan itu turut meliputi babi hidup dan makanan babi.
Jelas Izham, sebanyak 920 babi melibatkan ladang di Sungai Blankan telah dilupuskan Veterinar semalam.
“Pemeriksaan awal mendapati kira-kira 1,500 haiwan itu disahkan positif di dua lagi ladang lain setakat ini. Kesemua ladang itu kini disita bagi tindakan lanjut termasuk melakukan survelan aktif dan pemantauan secara berterusan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri mengarahkan Veterinar Selangor mengambil tindakan lanjut bagi mengekang penularan ASF daripada merebak ke kawasan lain dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan lain termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Wabak itu merupakan penyakit bukan zoonotik yang tidak menjangkiti manusia dan hanya menyerang babi domestik dan babi liar. Penternak babi di Selangor turut diingatkan berwaspada dan meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing,” katanya.
Selain itu, Izham meminta orang awam terutama pemain industri babi segera melaporkan sebarang kematian babi kepada Veterinar dan tidak memanipulasi berita tidak sahih mengenai ASF sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat. – UTUSAN