IPOH: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sudah bermula pada tahun 2021, ketika Perikatan Nasional (PN) menerajui negara selama 30 bulan.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini bermakna ia bukan undang-undang baharu dan tidak mungkin ia agenda DAP kerana sudah bermula ketika pentadbiran PN sendiri.
Menurutnya, pada waktu itu tidak kedengaran kritikan atau bantahan terhadap undang-undang berkenaan daripada pemimpin PN.
“Tetapi setelah mereka tidak menjadi kerajaan. lain pula sikap mereka. Pelbagai dakwaan karut mereka sebarkan, kononnya undang-undang ini akan meminggirkan golongan Melayu.
“Bagaimana mungkin ia agenda DAP sedangkan ia telah bermula ketika pentadbiran PN sendiri dan tidak mungkin untuk DAP mendominasi agenda ini kerana DAP hanya ada empat orang ahli dalam Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, dakwaan URA bakal menindas golongan Melayu bandar menunjukkan pembangkang berubah wajah menjadi parti yang condong kepada assabiyah dan ekstremisme kaum.
Katanya, peranan pembangkang yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang dalam dewan perundangan kian kabur dan sudah menjadi barisan politik yang bersifat rasis dan berhaluan kanan apabila membuat berita palsu tentang undang-undang berkenaan.
“Setiap langkah kerajaan dilihat dari lensa perkauman dan anehnya dasar serta tindakan sama di negeri-negeri yang mereka perintah sebagai contoh tidak pula dilihat demikian.
“Pendekatan rasis ini dipaparkan dengan jelas oleh para pemimpin PN dalam isu URA dengan pelbagai dakwaan karut, kononnya undang-undang ini akan meminggirkan golongan Melayu malah menuduh kerajaan akan menggunakan undang-undang ini merampas harta golongan miskin.
“Kita sedar PN akan sentiasa menggunakan lensa perkauman sempit untuk mengada-adakan kesan anti-Melayu dan anti-Islam,” katanya.
URA merupakan rang undang-udang (RUU), hanya akan dibentangkan dalam sesi Julai 2025 ini dan masih dihalusi oleh Kamar Peguam Negara dan kemudian diteliti oleh Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Mengenai dakwaan merampas harta orang miskin dan seumpamanya, para pemimpin PN seolah-olah tidak sedar hak terhadap harta dijamin oleh Perlembagaan dan dibuktikan oleh banyak kes mahkamah,” katanya.