Upayakan aktiviti pelancongan Ban Canal, Permatang

Upayakan aktiviti pelancongan Ban Canal, Permatang

Ban Canal
LOKASI pelancongan seperti di Ban Canal wajar diperkasa dan dimanfaatkan menerusi program Tahun Melawat Selangor 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri disaran memanfaatkan kelebihan seperti Ban Canal dan lokasi pelancongan khususnya di Permatang, Tanjong Karang dalam sektor tersebut menerusi program Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

Ia termasuklah mewartakan kawasan berpotensi seperti pesisiran Ban Canal di Sri Tiram Jaya dan Pasir Penambang sebagai zon pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, saranan tersebut berpotensi memberikan pendapatan kepada penduduk tempatan menerusi produk-produk pelancongan setempat yang secara tidak langsung memberi perolehan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, potensi tersebut tidak sepatutnya dibazirkan dengan mengambil contoh aktiviti aktiviti perniagaan yang dijalankan di Damnoen Saduak Floating Market, Ratchaburi dan Khong Hae Floating Market, Hatyai di Thailand apabila menjana ekonomi berbilion ringgit.

“Maka tindakan perlu diambil sekarang, bukan tahun depan, bukan selepas Tahun Melawat Selangor 2025 berakhir! Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan negeri mewartakan kawasan berpotensi seperti persisiran Ban Canal dan Pasir Penambang sebagai tempat pelancongan.

“Saya juga memohon kerajaan negeri membina jeti khas pelancongan di Ban Canal, Sri Tiram Jaya dan menaik taraf jeti pelancongan di Pasir Penambang. Begitu juga jeti di Kampung Lubok yang berpotensi untuk dijadikan jeti tarikan kelip kelip,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15.

Jelasnya, Karnival Ban Canal di Sabak Bernam yang dianjurkan setiap tahun berpotensi besar namun ia cuma bersifat program bertempoh pendek dan kawasan tersebut kembali suram apabila ia berakhir.

Selain itu, Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu menggesa pihak berkuasa tempatan khususnya di Kuala Selangor dan Sabak Bernam supaya memudahkan pemberian lesen atau kebenaran untuk menjalankan perniagaan inap desa dan agro pelancongan lain.

“Saya juga ingin menyentuh peranan agro pelancongan yang diketepikan dan terlalu sukar untuk mendapatkan lesen dan terpaksa beroperasi secara tidak sah bertahun tahun lamanya.

“Dalam usaha merealisasikan TMS 2025, inap desa di kawasan luar bandar memainkan peranan penting. Tetapi, pemiliknya berdepan kesukaran kerana tanah mereka berstatus pertanian dan sukar mendapatkan lesen operasi.

“Kedai-kedai makan yang terkenal yang dibina di atas kawasan pertanian, pusat aktiviti yang dibina di atas sawah, sebagai contoh aktiviti lasak ATV di Kunci Air Buang, pengusaha pengusaha itu masih dalam keadaan tertekan dan gagal mendapat lesen selain mendapatkan kemudahan utiliti,” tambahnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri wajar mengambil tindakan dan tidak membiarkan kerenah birokrasi itu berlanjutan tanpa penyelesaian dan mewujudkan satu garis panduan khas yang lebih fleksibel kepada pengusaha-pengusaha berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN