ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melaksanakan perubahan melalui penstrukturan kerangka pengajaran dan pembelajaran yang inovatif serta relevan untuk disesuaikan dengan Generasi Z (Gen Z) dan Alpha.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan universiti sentiasa kekal relevan dan berimpak.
Katanya, ia perlu dilakukan sebagai persediaan bagi pembentukan generasi yang berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan negara.
“Ini kerana hampir 90 peratus kakitangan akademik Unimap dari Gen X dan Y yang masing-masing mempunyai ciri tersendiri dalam adaptasi teknologi dan inovasi pendidikan.
“Manakala Gen Z membesar dengan teknologi selain media sosial seperti Facebook dan Instagram serta masih menghargai keseimbangan antara dunia digital dan realiti. Tetapi Gen Alpha pula adalah ‘digital natives’ sejati iaitu lebih mahir dalam teknologi dan lebih selesa berinteraksi secara digital.
“Bagaimana kita hendak menggabungkan ciri-ciri istimewa setiap generasi supaya wujud persefahaman yang saling melengkapi,” katanya menyampaikan amanat Naib Canselor 2025 di sini hari ini.
Zaliman berkata, pendekatan ke arah perubahan tersebut telah ditekankan oleh beliau dan menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan bersama-sama.
Katanya, kerjasama berpasukan itu dalam usaha memacu ke arah kemenjadian kakitangan dan pelajar yang cemerlang bagi menghadapi cabaran hari ini dan masa depan.
“Ini selari dengan perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembentukan generasi yang berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan negara.
“Di peringkat Unimap, semua dasar-dasar yang digariskan oleh KPT pada 2024 telah kita padankan melalui pelan strategik Unimap 2025 yang mengandungi lima teras utama iaitu pengukuhan akademik, pemerkasaan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, kesejahteraan pelajar dan pengantarabangsaaan serta libat sama dan pembangunan komuniti.
“Ia didukung oleh tiga teras pemangkin iaitu kecemerlangan bakat, pemantapan infrastruktur dan kelestarian kewangan,” katanya.
Zaliman berkata, pelan-pelan tersebut juga akan menjadi landasan kukuh bagi masa depan universiti tersebut dengan mengambil kira pertambahan fokus-fokus KPT bagi memenuhi keperluan Gen Z dan Alpha seiring dengan cabaran dunia yang pesat berubah.-UTUSAN