KOTA BHARU: UMNO perlu konsisten turun padang dan menyantuni orang ramai termasuk golongan muda tanpa menunggu gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dibuka bagi memastikan parti itu terus kekal diberikan mandat oleh rakyat pada masa hadapan.
Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Cawangan Kelantan Datuk Rozali Isohak berkata, sebagai sebuah parti yang banyak menabur jasa, UMNO perlu menceritakan kejayaan yang telah dilaksanakan mereka sebelum ini.
“Jangan tunggu PRU-16 baru hendak bekerja. UMNO kena bersedia dari sekarang dan rapat dengan rakyat sebab PRU-16 sudah tidak lama.
“Jadi kami (Mubarak Cawangan Kelantan) tidak mahu UMNO terus ketinggalan dalam meraih sokongan dari rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Kelantan Kali ke-13 dan Majlis Penganugerahan Tokoh Wira MUBARAK Kelantan sepanjang zaman kepada tokoh veteran politik Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah di sini hari ini.
Sementara itu Nozula memberitahu, UMNO perlu terus mendekati golongan muda bagi memastikan mereka kembali memberikan sokongan kepada parti berkenaan.
“Kita perlu tarik semula minat orang muda untuk menyokong UMNO. Hal ini kerana, parti ini (UMNO) telah lama berjasa.
“Bukan susah nak tarik orang muda, kadang-kala mereka tidak faham. Jadi kita (pemimpin atau ahli UMNO) perlu memberitahu tahu mereka apa yang UMNO telah buat berbanding parti pembangkang,” ujarnya.-UTUSAN