NARATHIWAT, THAILAND: Umat Islam di negara ini berharap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memainkan peranannya dalam menggerakan proses rundingan damai di selatan Thailand.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Shafie Ibrahim berkata, pihaknya menaruh kepercayaan tinggi kepada pemimpin Malaysia itu untuk melaksanakan tugas tersebut sebaik mungkin.
“Kami berdoa supaya Anwar dapat menyelesaikan segala kekusutan ini. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
“Saya percaya ia (masalah di selatan Thailand) dapat diselesaikan melalui rundingan damai,” katanya semasa ditemui pemberita dipejabatnya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Anwar menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan keganasan bagi menyelesaikan sebarang konflik di selatan Thailand.
Anwar, yang sememangnya secara peribadi dikenali ramai di selatan Thailand, berjanji untuk ‘melakukan apa sahaja yang diperlukan’ bagi memudahkan proses damai.
Selain itu, Anwar melantik bekas Perdana Menteri Thailand dan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN Thaksin Shinawatra dalam
usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang telah lama berlarutan di wilayah itu.-UTUSAN