KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 ke atas seorang pekebun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas yang berhutang dengannya di sebuah kedai makan di Kuala Krai dekat sini kira-kira dua minggu.
Tertuduh, Zakuan Jaafar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang menyebabkan mangsa ketakutan akan dibunuh sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM100.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Lubok Simpol di Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 28 Januari lalu.
Zakuan didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zakuan memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya dan ditempatkan di Penjara Machang dekat sini.
“Saya minta duit dan ugut bunuh sebab dia (mangsa) berhutang dengan saya,” katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 28 Januari lalu, denda RM3,000 dan ditempatkan di Penjara Machang.-UTUSAN