KOTA BHARU: Sindiket penyeludupan di negeri ini menjadikan laut sebagai laluan baharu untuk kegiatan tersebut terkesan dengan tindakan Polis Kelantan yang menguatkuasakan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak 1 Disember tahun lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, laluan laut melalui Kuala Besar di sini dikesan menjadi lokasi baharu kepada kegiatan tersebut.
“Selain itu, Tak Bai (Pengkalan Kubor), Semerak dan Tok Bali (Pasir Puteh) turut menjadi pilihan sindiket berkenaan. Sebelum ini, aktiviti itu lebih tertumpu di Sungai Golok, namun sejak kawalan ketat, mereka ubah lokasi.
“Semua ini hasil maklumat risikan dan tangkapan yang dilakukan oleh polis. Terbaru, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan laut,” katanya kepada pemberita di semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap terbaik.
Katanya, Polis Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus memperkemaskan rondaan dalam membendung aktiviti berkenaan.-UTUSAN