Turkiye anggap Malaysia rakan strategik komprehensif - Utusan Malaysia

Turkiye anggap Malaysia rakan strategik komprehensif

RECEP TAYYIP ERDOGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang komprehensif sejak tahun 2022 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantarannya dalam platform X, Erdogan memaklumkan beliau memulakan lawatan kerjanya ke tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Pakistan selama empat hari bermula hari ini.

Katanya, lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan ketiga-tiga negara yang disifatkannya sebagai negara sahabat dan keluarga.

“Kami akan menandatangani banyak perjanjian yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Hentian pertama adalah Malaysia, negara yang telah menjadi rakan strategik komprehensif Türkiye sejak 2022 dan memegang jawatan Presiden ASEAN bagi tahun 2025.

“Selain kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia, Türkiye juga bekerjasama rapat di arena antarabangsa, terutamanya dalam isu Palestin. Diharapkan kami dapat meningkatkan lagi kerjasama ini pada masa hadapan,” katanya sebelum berlepas ke Malaysia, awal pagi ini.

Erdogan berkata, selepas Malaysia, beliau akan berlepas ke Indonesia bagi meraikan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Ankara dengan Jakarta.

Katanya, beliau percaya lawatannya ke Indonesia selaku tuan rumah sekretariat ASEAN dan Malaysia sebagai pengerusinya akan memberi impak positif dalam hubungan dua hala selain memperkukuhkan lagi ASEAN.

“Pakistan, destinasi terakhir dalam lawatan kami, mempunyai tempat yang istimewa di hati Türkiye dan bangsa Turki, yang dikenali oleh semua orang.

“Dengan lawatan ini, kami berharap dapat membawa persahabatan, saudara-mara dan hubungan kami ke tahap yang lebih jauh,” katanya.

Menurutnya lagi, selain lawatan rasmi, Türkiye juga akan mengambil bahagian dalam forum perniagaan yang menghimpunkan wakil sektor swasta di negara dilawatinya.

“Pada 2019, kami melancarkan ‘Asia Anew Initiative’ dan melaksanakan hasrat kami untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Asia.

“Saya berharap lawatan ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha itu (Asia Anew Initiative) akan mempercepatkan hubungan yang telah kami bina atas dasar persaudaraan dengan Malaysia, Indonesia dan Pakistan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya