‘Tunggu dapat gaji baru saya boleh tukar brek’ - Utusan Malaysia

‘Tunggu dapat gaji baru saya boleh tukar brek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Tunggu dapat gaji baru saya boleh tukar brek’.

Itu antara alasan yang diberikan oleh seorang daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan teknikal melibatkan brek dan tayar dikenal pasti sebagai antara pelanggaran tertinggi sepanjang Op Khas TBC 2025 yang dijalankan oleh JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa agensi lain.

“Kesalahan teknikal seperti penggunaan tayar botak dan kegagalan brek berfungsi dengan baik merupakan antara masalah utama yang sering dikesan dalam pemeriksaan kenderaan.

“Kesalahan itu dikesan bukan sahaja sepanjang Op TBC tetapi juga dalam operasi lain yang dilaksanakan JPJ,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas TBC 2025, Plaza Tol Sungai Besi, di sini semalam.

Menurutnya, operasi yang bermula sejak 20 Januari lalu dan berakhir semalam itu menyaksikan sebanyak 107,014 notis saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan, menunjukkan pengurangan ketara berbanding tahun lalu yang merekodkan 207,127 notis.

Jelas beliau, pemeriksaan terhadap 429,423 kenderaan sepanjang tempoh operasi mendapati sebanyak 82,606 kesalahan utama telah dikesan, dengan kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan mencatat jumlah tertinggi iaitu 29,994 kes, diikuti pelesenan pemandu (20,414) dan kesalahan teknikal seperti tayar dan brek (15,610).

“Dalam operasi yang sama, sebanyak 724 kenderaan disita bagi pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki cukai jalan serta insurans yang sah, selain kenderaan yang dipandu oleh warga asing tanpa lesen yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy turut berkongsi jumlah kemalangan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina kali ini menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus, daripada 8,784 kes pada 2024 kepada 7,882 kes pada tahun ini.

“Kemalangan maut juga menurun sebanyak 41 peratus, daripada 109 kes kepada 64 kes, manakala jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berkurang sebanyak 44 peratus, daripada 117 orang kepada 66 orang.

“Statistik itu membuktikan usaha penguatkuasaan serta kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan berjaya memberi impak positif terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.

Tambahnya, dalam operasi yang sama, larangan pemanduan terhadap kenderaan barangan (road ban) juga dikuatkuasakan selama empat hari, iaitu pada 27 dan 28 Januari sebelum perayaan, serta pada 1 dan 2 Februari selepas perayaan.

“Sebanyak 21 kenderaan barangan ditahan kerana melanggar peraturan ini, manakala 140 notis JPJ P22 telah dikeluarkan terhadap pemandu yang gagal mematuhi larangan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya