JERANTUT: Seramai 66 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 24 di sini teruja dan gembira menerima kit peralatan pembelajaran Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) pada hari pertama sesi akademik 2025/2026 semalam.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pelbagai gelagat dan reaksi murid dapat dilihat ketika menerima sumbangan tersebut.
“Ada antara murid itu terlalu seronok sambil berkata tidak sangka hari pertama sekolah dapat hadiah besar.
“Mereka tidak tahu ia sebenarnya peralatan sekolah sumbangan kerajaan negeri. Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas inisiatif murni yang dilaksanakan ini.
“Ia benar-benar membantu para ibu bapa dan apa yang lebih penting memberi kegembiraan dan semangat kepada murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan mereka,” katanya di sini.
Razak berkata, keterujaan bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah rendah, malah pelajar sekolah menengah yang berkelayakkan juga gembira menerima kit pembelajaran tersebut.
“Selain SK Felda Jengka 24, saya turut diwakilkan untuk menyampaikan sumbangan Tunas Makmur kepada 25 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 24.
“Saya percaya bantuan ini memberi sedikit kelegaan kepada ibu bapa dan penjaga kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN