IPOH: Kawasan berbukit di kawasan Hulu Kinta di sini menjadi pilihan peminat sukan berbasikal bukit (MTB) kerana memiliki kepelbagaian bentuk trek untuk menguji kemampuan fizikal mereka.
Malah, trek di Hulu Kinta juga sememangnya sudah dikenali sebagai trek MTB yang mencabar dan digemari peminat sukan itu termasuk dari luar Perak.
Kayuhan santai muhibah anjuran kelab berbasikal Kinta Rider yang diadakan baru-baru ini merupakan peluang bagi penggemar sukan MTB untuk merasai pengalaman berkayuh di trek Hulu Kinta yang disertai lebih 60 peserta.
Presiden Kinta Rider, Md. Jalal Jaafar berkata, kayuhan santai itu disertai peserta dari luar Perak termasuk dari Selangor dan Kedah dan ada yang pertama kali berkayuh di trek tersebut.
Menurutnya, acara itu diuar-uarkan dalam media sosial dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Trek Hulu Kinta memang diakui mencabar oleh peminat MTB. Treknya pelbagai terutama laluan mendaki yang tinggi atau pacak, benar-benar menguji kemampuan peserta.
“Di sini banyak trek yang menjadi pilihan sama ada untuk mereka yang baru berkayuh mahupun yang sudah berpengalaman atau ‘rider’ yang kuat. Saya gembira kerana kayuhan santai muhibbah berjaya menarik ramai peminat MTB,” katanya ketika ditemui.
Tambah Md. Jalal, selain merasai pengalaman berkayuh di trek Hulu Kinta, program itu juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan peminat sukan berkenaan.
“Mereka yang menyertai program kayuhan ini juga berpuas hati kerana dapat merasai pengalaman berkayuh di sini,” katanya.