PASIR MAS: Sebanyak 20 ekor biri-biri dipercayai diseludup dari negara jiran tidak sempat dipasarkan apabila berjaya dirampas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Seri Merbau di sini kelmarin.
Rampasan itu dilakukan pada pukul 9.20 malam selepas anggota yang melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan mengesan sebuah lori berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan 20 ekor biri-biri di atas lori tersebut.
Katanya, anggaran rampasan termasuk lori berjumlah RM115,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN