KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menambah kuota minyak masak paket bersubsidi ketika ini iaitu 60,000 tan metrik sebulan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, jumlah itu mencukupi bagi menampung penggunaan 80 peratus rakyat selain penjaja di negara ini.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, sebanyak 7.9 juta isi rumah mempunyai keperluan sebanyak 4.8 kilogram (kg) minyak masak sebulan.
“Bagi penggunaan 80 peratus rakyat ini, adalah sebanyak 30,300 tan sebulan dan data DOSM 2023 menunjukkan penggunaan bagi peniaga mikro dan penjaja adalah 21,285 tan.
“Jadi kementerian berpandangan jumlah 60,000 tan adalah mencukupi untuk diagihkan kepada 80 peratus isi rumah dan industri mikro dengan setiap pembelian, kita hadkan sebanyak tiga paket minyak masak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Menteri KPDN menyatakan berapa jumlah subsidi yang dibelanjakan untuk Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) sepanjang tahun lalu.