Tengku Hassanal, 570 peserta tamatkan larian Mara Lasak Pahang sejauh 10km - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal, 570 peserta tamatkan larian Mara Lasak Pahang sejauh 10km

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah (duduk, tengah) berkenan menyertai acara Mara Lasak Pahang 2025 di Kampung Ulu Dong di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menyempurnakan acara larian Mara Lasak Pahang 2025 di Kampung ulu Dong di sini hari ini.

Tengku Hassanal turut berjaya menamatkan larian enam ‘check point’ terdiri daripada pelbagai cabaran termasuk meredah sungai, mendaki bukit, melalui hutan dan denai sejauh 10 kilometer (km).

Seramai 570 peserta membabitkan 57 pasukan menyertai acara itu yang bermula pukul 8.40 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, acara julung kali diadakan itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan lasak dalam kalangan rakyat khususnya belia.

“Sebanyak 57 pasukan mengambil bahagian. Sebenarnya kita hadkan kepada 50 sahaja tetapi permintaan-permintaan akhir kita terima melebihi sasaran kita.

“Yang paling penting Tengku Mahkota Pahang bersama-sama dengan rakyat dalam cabaran mara lasak ini untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan lasak dalam kalangan rakyat Pahang dan tentunya peserta-peserta yang mengambil bahagian cukup ceria dapat menyertai acara yang julung kali diadakan ini,” katanya.

Difahamkan acara anjuran Majlis Rekreasi Pahang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu VIP, agensi kerajaan dan orang kampung membabitkan lapan peserta lelaki dan dua wanita.

Sebanyak lima pasukan memenangi setiap kategori dengan hadiah berupa wang tunai RM2,000 untuk johan, RM1,500 naib johan, RM1,000 tempat ketiga dan dua hadiah saguhati RM500 untuk tempat keempat dan kelima.

Fadzli juga berkata, acara sedemikian akan terus dilaksanakan pada masa akan datang berikutan sambutan diterima dalam kalangan peserta begitu menggalakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN