BAGAN SERAI: Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) menghentikan sementara aktiviti air di Tasik Bukit Merah di sini berikutan penyusutan paras air di tasik tersebut.
Pengurus BMLR, Danesh Kumar berkata, tiada hujan selama dua minggu di sekitar kawasan tasik menyebabkan paras air surut.
“Kami terpaksa menghentikan beberapa aktiviti air di tasik ini seperti berkayak dan aktiviti bot. Namun lawatan ke Pulau Orang Utan yang terletak di tengah tasik ini masih beroperasi seperti biasa.
“Begitu juga aktiviti di Taman Tema Air BMLR masih beroperasi seperti biasa dan pengunjung boleh merancang percutian mereka di resort ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, aktiviti rekreasi air melibatkan penggunaan tasik itu seperti berkayak hanya akan disambung semula apabila paras air meningkat.
“Fenomena penyusutan air memang berlaku setiap tahun ketika musim kemarau. Cuma tahun ini, ia berlaku lebih awal. Kami berharap keadaan ini segera pulih,” katanya.
Jelasnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian juga telah membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan jika cuaca panas berterusan.
Beliau difahamkan, pintu empangan yang menyalurkan air ke ban tali air ke kawasan sawah akan ditutup sementara.
Katanya, ini kerana petak sawah yang biasanya memerlukan aliran air masih belum memerlukannya buat masa ini.
“Kami berharap situasi ini dapat pulih dalam masa terdekat, sekaligus membolehkan aktiviti rekreasi yang terhenti dapat diteruskan semula,” katanya.
Tasik Bukit Merah di sini yang menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping sering mengalami pengurang air berikutan cuaca panas.
Kali terakhir tasik itu kering berlaku pada Jun dan Julai lalu.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan Perak mengemukakan cadangan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sekitar kawasan tasik itu.