KUALA SELANGOR: Tapak pelupusan sampah haram dekat Kampung Seri Sentosa, Ijok didakwa sudah berlarutan sehingga 17 tahun selepas pemilik-pemiliknya dikatakan menambak tanah mereka tanpa kebenaran sejak 2008.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Hanafe Basri, berkata, susulan itu tindakan sudah pun diambil bersama termasuk mengeluarkan 33 Notis 7A dan 28 Notis 7B di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1995 kepada pemilik oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Kuala Selangor.
Menurutnya, notis tersebut diberikan kepada pemilik tanah yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penambakan secara tidak sah.
“Sebanyak 28 lot tanah berjaya diremedi selepas tindakan lanjut diambil. Tiga pemilik tanah mengambil inisiatif meremedi tanah mereka lebih awal sebelum Notis 7B dikeluarkan, menjadikan keseluruhan tanah yang diremedi sebanyak 31 lot. Baki dua lot lagi dalam proses penyediaan Notis 7B (pelucutkan hak milik).
“Bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan, MPKS mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan iaitu perjumpaan dengan pemilik tanah dan operasi bersepadu dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Kuala Selangor.
“Selain itu, MPKS mencadangkan pemasangan papan tanda larangan dan hebahan awam serta pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat berkenaan aktiviti pembuangan sampah secara haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kawasan tersebut turut melibatkan Kampung Sri Aman yang mula didiami sejak 2008 selepas melalui proses pelupusan tanah kerajaan. Namun aktiviti penambakan tanah menggunakan sisa binaan dan sampah domestik semakin berleluasa.
“MPKS melaksanakan pelbagai langkah penguatkuasaan untuk menangani masalah itu. Bermula pada 2008, MPKS mengeluarkan amaran lisan serta notis kompaun kepada individu dan pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan tanah dan pembuangan sampah haram.
“Pada 2016, MPKS mengambil langkah lebih drastik dengan menutup kawasan pembuangan sampah haram yang diadukan serta mengorek parit bagi menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan tersebut. Selain itu, pintu pagar dan pondok haram yang dibina di laluan masuk ke kawasan berkenaan turut dirobohkan,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah haram yang terletak di Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor itu dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar dengan keluasan kira-kira 52 hektar.
Ia berlaku ekoran aktiviti pelupusan sampah, sisa industri, pembinaan dan domestik oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kawalan pihak berkuasa.
Jelas Mohamad Hanafe, dalam tempoh 2020 hingga 2025, MPKS mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan dengan menyita 135 kenderaan, mengeluarkan 281 kompaun dan 20 notis.
Malah, pada 2023 MPKS mencatatkan jumlah sitaan tertinggi melibatkan 34 kenderaan, pengeluaran 75 kompaun dan lapan notis.
“Bagi menangani secara lebih sistematik, Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Bil. 1/2019 bertujuan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan antara agensi bagi memastikan langkah-langkah yang lebih teratur dan bersepadu dapat dilaksanakan.
“MPKS kemudian menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Sampah Haram bagi memantau pelaksanaan arahan tersebut. Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk menyelaras tindakan antara MPKS, PDT Kuala Selangor serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pengurusan isu pembuangan sampah haram dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya. – UTUSAN
Info:
Tapak sampah haram libatkan Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman sejak 2008
Tindakan-tindakan diambil:
Pada 2008:
>> Amaran lisan dan notis kompaun kepada pihak terlibat
Pada 2016:
>> MPKS menutup kawasan pembuangan
>> Mengorek parit bagi menghalang laluan
>> Merobohkan pintu pagar dan pondok haram
Pada 2019:
>> Kerajaan negeri mengeluarkan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Bil. 1/2019
>> MPKS menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Sampah Haram
Pada 2020 – 2025:
>>135 kenderaan di sita
>>281 kompaun dikeluarkan
>>20 notis dikeluarkan
Tindakan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1995:
>> 33 Notis 7A dikeluarkan
>> 28 Notis 7B dikeluarkan
>> 31 tanah diremedi
>> 2 dalam proses penyediaan