KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menganggap pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas kesalahan menduduki tanah kerajaan Pahang tanpa kebenaran peluang membersihkan nama agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pertubuhan itu bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana didakwa di mahkamah kerana ia medan membuktikan pihaknya tidak bersalah.
“Pendakwaan hari ini peluang terbaik buat PPNP untuk membersihkan nama pertubuhan ini selepas didakwa, ditohmah dan dituduh selama ini menceroboh tanah kerajaan. Saya percaya proses keadilan buat PPNP akan dijalankan secara adil mengikut prinsip ‘rules of law’.
“Hormati prinsip bahawa sesiapa itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Adalah tidak wajar melemparkan atau menggelar dengan pelbagai gelaran jenayah selagi belum dibuktikan bersalah,” katanya dalamdi sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, pertubuhan itu melalui peguam akan mengemukakan representasi bagi membatalkan pertuduhan terhadap PPNP.
Beliau dalam pada itu mengesahkan wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan berkaitan permohonan pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah kerajaan yang sedia ada diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Penanaman kelapa sawit tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sekian lama dan gagal ditangani pihak berwajib.
“Semasa petugas yang dilantik PPNP terdiri daripada jurukur tanah dan konsultan masuk ke kawasan untuk meninjau, mengenal pasti serta menanda pokok-pokok sawit yang ditanam haram bagi penyediaan kertas kerja, pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah hadir menyatakan menerima laporan pencerobohan tanah kerajaan,” katanya.
Zuhairi berkata, pihak PPNP diberikan notis mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh 14 hari yang berakhir pada 21 Jun tahun lalu.
“Sebaliknya, apa yang berlaku, semasa petugas PPNP berada dalam kawasan untuk menyelesaikan kerja dan menurut arahan notis diberikan 14 hari itu yang masih berkuatkuasa dan belum tamat tempoh untuk mengosongkan kawasan, pegawai UPNP yang membuat pemeriksaan telah meminta pekerja dilantik PPNP mengikut ke pejabat agensi berkenaan.
“Ini tindakan yang dianggap salah kerana PPNP ketika itu mempunyai notis yang masih sah.
“Wakil PPNP memberikan kerjasama dengan menunjukkan dokumen permohonan ‘tapping right’ yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa berkenaan berhubung urusan yang dijalankan, bukan melakukan pencerobohan seperti didakwa,” katanya yang memaklumkan penjelasan tersebut dibuat demi menjaga kepentingan dan imej pertubuhan itu.
“PPNP komited membantu menyalurkan maklumat untuk membanteras pencerobohan tanah dan kecurian hasil kepada penguatkuasaan. Ia termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang tubuh PPNP. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga sebelum ini bertitah bahawa aktiviti penguatkuasaan masih pada tahap lemah dan memerlukan penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN