Sultan Selangor dukacita umat Islam terpengaruh dakyah sesat

Sultan Selangor dukacita ramai umat Islam terpengaruh dakyah sesat

Dakyah sesat
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah pada Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1446H / 2025 di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan umat Islam supaya merujuk kepada pihak yang berkelayakan dalam urusan agama supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan ajaran atau fahaman songsang oleh sesetengah pihak.

Baginda menzahirkan dukacita kerana banyak buku-buku agama Islam dikarang dan dicetak dalam Bahasa Melayu namun semakin ramai pula orang Islam yang terperangkap dengan dakyah ajaran sesat dan menyeleweng dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sultan Sharafuddin bertitah, pihak berkuasa perlu lebih peka dalam menangani masalah itu dan mengambil tindakan undang-undang dengan lebih berkesan agar gejala ajaran sesat tidak mengancam akidah umat Islam di negara ini hingga membawa kepada perpecahan.

“Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara kita ketika ini. Umat islam akan ketinggalan di segala aspek kehidupan jika asyik terpedaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.

“Akibat daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan ini menyebabkan umat Islam semakin berpecah-belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam,” titah baginda dalam Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1446H / 2025, malam tadi.

Jelas Sultan Selangor, perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang-orang Melayu kerana ia agama yang lengkap dan indah serta boleh menjadi asas kepada perpaduan sesebuah masyarakat.

Selain itu, baginda turut menyentuh perihal umat Islam ketika ini mudah dipengaruhi dengan elemen-elemen negatif terutama ilmu-ilmu yang boleh menyesatkan dan menasihatkan supaya memanfaatkan perkembangan moden untuk mendapatkan maklumat sahih.

“Dalam dunia moden yang penuh dengan kemudahan dan dunia tanpa sempadan, pelbagai kaedah yang tersedia untuk kita mendapatkan maklumat yang sahih, khususnya berkaitan agama Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kebanyakan buku-buku berkaitan agama Islam yang berada di negara kita ini kebanyakannya telah dicetak dan diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu termasuk juga di laman-laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman beta belajar agama dahulu.

“Pada ketika itu tiada buku ajaran agama Islam yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, cuma kalau ada pun di dalam Bahasa Indonesia yang sukar untuk difahami. Umat Islam sekarang pada hakikatnya amat mudah untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam sebenar dengan adanya buku-buku agama Islam terjemahan Bahasa Melayu di pasaran,” tegas baginda.

Titah Sultan Sharafuddin lagi, umat Islam digesa supaya terus terus meningkatkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian selain memperbanyakkan amal ibadah,

“Moga-moga kita akan sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala serta dijauhi dari malapetaka dan bencana,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya