Sultan Selangor bantah cadangan garis panduan umat Islam

Sultan Selangor bantah cadangan garis panduan umat Islam

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan garis panduan khusus bagi umat Islam menghadiri perayaan penganut agama lain terutama di negeri ini.

Baginda bertitah, Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak timbul isu terpesong akidah umat Islam kerana yakin mereka memahami batas-batas akidah selain bijak menilai sesuatu tindakan.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, baginda bertitah, Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

“Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

“Polemik yang tercetus itu sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin,” katanya, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan umat Islam diminta untuk mematuhi garis panduan khusus bagi menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam yang telah dijadikan rujukan di setiap negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, garis panduan itu sudah cukup lengkap dan memadai bagi memudahkan umat Islam memahami batas digariskan mengikut hukum syarak.

Ia berikutan Jemaah Menteri sebelum ini didakwa bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di Malaysia berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang membabitkan unsur-unsur keagamaan.

Menerusi satu kenyataan bersama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

Bagaimanapun, Sultan Selangor mengingatkan sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.

Menurut kenyataan sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah SWT meninggalkan segala larangan-Nya.

“Titah Baginda, apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya