SHAH ALAM: Pengurusan Taman Tema i-City diberikan tujuh notis berhubung pembinaan dan pengoperasian gelongsor air kaca, SkyCity berikutan pembinaannya didakwa tidak mendapat kebenaran.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan berkata, SkyCity yang dibuka sejak 18 Disember lalu itu tidak mempunyai kebenaran merancang (KM) apabila pengurusannya didakwa gagal mengemukakan permohonan tersebut kepadanya.
“MBSA mengambil langkah tegas dengan menutup tapak projek dan menggantung segala aktiviti di lokasi berkenaan. Langkah itu diambil bagi memastikan tiada kerja diteruskan sehingga mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihak MBSA.
“Walaupun notis dikeluarkan, pemantauan semula mendapati bahawa pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan engkar terhadap arahan yang dikeluarkan.
“Oleh itu, pada 30 Januari 2025, MBSA mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang diberikan,” katanya.
Notis dikeluarkan adalah, arahan menghentikan kerja serta meroboh struktur tidak mematuhi peraturan, amaran untuk memastikan papan tanda dipasang sepanjang tempoh kerja pembinaan, amaran menghentikan segala kerja pendirian bangunan yang tidak mendapat kebenaran dan kompaun atas kesalahan meletakkan bahan binaan di tempat awam.
Selain itu, MBSA turut mengeluarkan notis mengarahkan KM dikemukakan, penghentian semua aktiviti pemajuan tanpa KM dan pemulihan semula tanah selepas gagal mendapat KM, kesemua notis tersebut diberikan pada 14 dan 22 November 2024 dan 23 Januari lalu.
Tambah kenyataan itu, setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Jelasnya, MBSA kesal dengan insiden yang melibatkan pelampung terjatuh menimpa pengunjung di kawasan berkenaan pada 29 Januari lalu dan tular dalam media sosial.
“MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama kami, dan kami komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat.
“Sehubungan dengan itu, MBSA akan terus memantau situasi itu dengan lebih teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam,” ujarnya.
SkyCity yang mempunyai gelongsor air kaca sepanjang 600 meter (m) pada menara setinggi 60 m mula dibina pada Ogos tahun lalu selepas majlis pecah tanahnya dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ia dibangunkan dengan kos sekitar RM15 juta menjadi mercu baharu tarikan Taman Tema i-City yang disasar untuk meningkatkan kemasukan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025. – UTUSAN