PENAMPANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali mengingatkan masyarakat agar menyalurkan aduan di saluran yang betul dan bukan bertindak menularkannya terlebih dahulu.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu tular tanpa butiran terperinci maka, sukar untuk KPDN mengambil tindakan susulan terhadap peniaga yang terlibat.
Katanya, apabila sesuatu aduan itu tular dikhuatiri, pihak peniaga yang disyaki terlibat akan cuba menyembunyikan kesalahan yang mereka lakukan apabila anggota KPDN datang ke premis yang ditularkan.
“Itu sebabnya perlu bagi masyarakat kita menyalurkan aduan di platform bersesuaian yang telah ditetapkan KPDN supaya kita ada rekod dan boleh ambil tindakan susulan dalam tempoh ditetapkan.
“Saya khuatir kalau kita tularkan dahulu, sukar kita buat tindakan susulan kerana tidak tahu dimana premis yang ditularkan.
“Di bawah kepimpinan saya di KPDN, melalui program ‘Kita Gempur’ yang dilaksanakan, lebih banyak aduan diterima, lebih baik bagi saya,” katanya semasa sidang akhbar sempena PJRM Kembali Ke Sekolah di Pusat Beli-belah ITCC, hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ia menggambarkan advokasi atau kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka sebagai pengguna semakin meningkat.
Maka, beliau tidak melihat bilangan aduan yang rendah itu sesuatu yang baik sebaliknya, aduan yang banyak itu lebih bermakna dalam menggambarkan kesedaran masyarakat.
Justeru, KPDN akan sentiasa mempertingkatkan program advokasi kepenggunaan bagi memaklumkan kepada rakyat tentang saluran-saluran aduan yang boleh dihubungi.
“Macam di Sabah ini, saya telah arahkan supaya papan skrin iklan melalui LED, janganlah letak muka Menteri KPDN, Selamat Hari Raya, Selamat Menyambut Krismas, letakkan makluman yang berinformatif.
“Maksud saya, muka boleh diletakkan tapi mesti ada maklumat mengenai saluran aduan dan maklumat yang lebih berinformatif dan boleh memberi manfaat kepada masyarakat kita,” katanya. – UTUSAN