SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim ‘ditembak’ 23 kali oleh 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini berhubung isu pengurusan sampah termasuk tapak pelupusan haram.
Beliau diasak sebaik sahaja memulakan penggulungan terhadap perbahasan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bermula dengan ADUN Ijok, Jefri Mejan dari Perikatan Nasional (PN).
Jefri membangkitkan isu kekeliruan terhadap Undang-Undang Kecil Pungutan, Pembuangan Sampah dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 dengan jumlah kompaun maksimum RM1,000 berbanding diuar-uarkan pada kain rentang di Kampung Seri Sentosa, RM2,000.
Selain itu, ADUN Kuang (PN), Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah turut menyatakan pandangan sama terhadap denda tersebut yang disifatkan tidak berpadanan dengan kos operasi pemadaman api berhampiran Kampung Orang Asli Hulu Kuang selama sembilan hari yang didakwa menelan belanja lebih RM100,000.
Suee Lim dalam penggulungannya berkata, isu sampah diakui merupakan masalah besar dihadapi kerajaan negeri apabila sisa yang dihasilkan setiap hari oleh 7.3 juta penduduk melepasi 7,000 tan metrik.
“Justeru pelan tindakan komprehensif dirangka bagi mengatasi isu pengurusan sampah di negeri ini secara tuntas. Tindakan itu bukan sahaja tertumpu kepada penambahbaikan dalam sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah usha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.
“Selain itu kerajaan negeri akan mengukuhkan program pengasingan sisa di punca yang mana setiap isi rumah wajib mengasingkan sampah mengikut kategori seperti sisa organik, barang kitar semula dan bahan buangan berbahaya,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang DUN Selangor Ke-15 itu.
Terdahulu, ADUN lain yang bangkit mempersoalkan isu sampah serta pengurusan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) iaitu Mohd. Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal), Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Dusun Tua), Datuk Abdul Rashid Asari (Bebas-Selat Klang) dan Hilman Idham (PN-Gombak).
Selain itu, ADUN Morib (PN), Rosnizan Ahmad, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga), Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam), Nushi Mahfodz (PN-Semenyih), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) dan Cheong Kian Young (PN-Kajang) turut membangkitkan isu sama.
Turut bangun, ADUN Sungai Panjang (PN), Mohd. Razali Saari dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang merupakan Ketua Pembangkang.
Jelas Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan memberitahu, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melanggar peraturan dengan mengenakan denda berat.
“Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan syarikat pengurusan sisa pepejal dan masyarakat setempat dalam usaha memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
“Dengan adanya kerjasama erat, diharapkan isu pengurusan sisa pepejal di Selangor dapat ditangani dengan lebih berkesan. Saya percaya langkah-langkah penguatkuasaan yang tegas dan kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat adalah kunci kepada kejayaan usaha itu,” ujarnya. – UTUSAN