SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersedia mengkaji untuk meningkatkan jumlah pemberian elaun bagi atlet untuk memastikan negeri ini tidak kehilangan bakat khususnya dalam bidang sukan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, kadar semasa elaun bagi atlet adalah berbeza mengikut negeri dan ia menyebabkan bakat-bakat berpotensi berpindah ke negeri yang menawarkan bayaran lebih tinggi.
“Kita sedia akui, kadar elaun memang berbeza. Negeri yang ada komitmen tinggi untuk pembangunan sukan berupaya memancing atlet negeri lain. Kita sedang lihat keperluan untuk kaji semula elaun. Kita tidak mahu kehilangan bakat sukan terutamanya atlet yang berpotensi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Malah, Mohd. Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik memberitahu kerajaan negeri turut berhasrat menyelaras elaun atlet orang kelainan upaya (OKU) supaya golongan berkenaan menerima amaun dan layanan yang setara.
“Penyediaan elaun bagi atlet sukan para adalah bawah Kementerian Belia dan Sukan sekali gus wujud perbezaan urus tadbir. Memang ada perbezaan tetapi negeri cuba selaraskan supaya mereka juga dapat layanan yang sama. Kita akan bincang, ini kerana ada perbezaan bidang kuasa,” katanya. – UTUSAN