SHAH ALAM: Isu pengurusan sampah di kampung-kampung tradisi disifatkan semakin kritikal akibat peningkatan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau warga asing yang tinggal di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi berkata, isu berkenaan timbul berikutan semakin ramai golongan tersebut menduduki rumah-rumah di kampung tradisi sehingga mampu membuka premis perniagaan.
“Pada hari ini, isu sampah sudah menjadi satu perkara yang agak kritikal di dalam kawasan kampung tradisi, mungkin exco boleh mengadakan perbincangan yang lebih khusus tentang masalah dan pengurusan sampah dalam kampung tradisi.
“Jadi, masalah utama adalah apabila adanya ramai PATI dan warga asing yang ada dalam kampung tradisi kita, bahkan mereka berleluasa membuka premis-premis perniagaan, menjual rokok seludup dan sebagainya dan akhirnya kembali mendatangkan masalah kepada penduduk.
“Di kawasan saya, di kampung tradisi di bawah Sri Serdang, pendatang Rohingya sebagai contoh, bahkan mereka sudah berani membuat kenduri secara besar-besaran dan budaya mereka berbeza dengan kita. Apa pandangan exco untuk kita cari penyelesaiannya,” katanya ketika mencelah dalam penggulungan oleh Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Kemudian, Rizam memberitahu, kerajaan negeri mengambil maklum perkara tersebut termasuk peningkatan penempatan warga asing di dalam kawasan kampung-kampung tradisi di seluruh negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri bersedia melaksanakan pengurusan sampah secara bersistematik melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selain meneliti pengawalseliaan warga asing di kampung tradisi.
“Antara yang sedang kita teliti dan insya-Allah sekiranya sesuai dilaksanakan, tindakan yang boleh diambil termasuklah dengan melibatkan JPKK terhadap sistem pengurusan sampah bersasar dan mengenal pasti kawasan bagi pembuangan sampah yang lebih bersistematik.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan meneliti langkah-langkah pengawalseliaan (PATI dan warga asing) yang lebih berkesan termasuk kawalan yang lebih ketat serta pemantauan dan tindakan operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berwajib yang lain.
“Saya juga ingin mengingatkan pemilik tanah dan pemaju harus bertanggungjawab dalam memajukan pembangunan di kampung tradisi dan kampung baharu tidak menjejaskan nilai sejarah serta kesejahteraan masyarakat setempat,” ujarnya. – UTUSAN