Penggunaan air perkapita naik 260 liter sehari

Sidang DUN Selangor: Penggunaan air perkapita naik 260 liter sehari

Penggunaan air
PENGGUNA di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan air bersih sebanyak 260 liter sehari. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar penggunaan air bagi setiap individu di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya direkodkan sebanyak 260 liter, sehari iaitu 40 liter lebih tinggi berbanding penggunaan diperingkat kebangsaan.

Malah, penggunaan tersebut dilihat meningkat berbanding 217 liter sehari seperti pernah dilaporkan pada Mac 2023 dalam kalangan lebih 9 juta penduduk di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, beliau mengakui kadar penggunaan di negeri ini berada pada tahap tersebut, namun ia melibatkan penggunaan air bagi pelbagai tujuan termasuk membasuh, menyiram pokok dan sebagainya.

“Memang betul Selangor memang kita tertinggi, malah berbanding seluruh negara pun kita tertinggi, kalau tak silap sekitar 260 liter sedangkan di peringkat nasional 220 liter,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang meminta penjelasan berkenaan cara untuk mencapai sasaran penggunaan 160 liter sehari seperti disarankan WHO.

Izham yang juga ADUN Pandan Indah itu menjelaskan, perbandingan dengan saranan WHO itu perlu dilihat dari segi infrastruktur dan penggunaan air dalam kalangan penduduk di negara ini selain amalan yang dilakukan di negara lain.

“Saya lihat balik perbandingan 160 liter yang dicadangkan oleh WHO. Kita kena buat perbandingan. Di negara kita, air untuk minum dibazirkan (digunakan) juga untuk perkara-perkara tidak sepatutnya contohnya basuh kereta.

“Tetapi, bila kita hendak menggunakan air untuk basuhan, kita perlukan paip yang kedua, tetapi kosnya terlalu tinggi. Di negara lain mereka sudah asingkan untuk tandas dan pembersihan adalah berbeza dengan air minum. Kita masih belum ada cuma kita baru mulakan di kawasan industri.

“Kiraan kita kena betul, adalah 160 liter itu untuk kegunaan minum atau termasuk semua jenis kegunaan,” tambahnya.

Terdahulu ADUN Gombak Setia, Hilman Idham meminta penjelasan berhubung rizab dan margin air di Selangor yang dikatakan rendah ketika ini.

Utusan Malaysia pada 2023 melaporkan rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang membazir air terawat lebih 500 juta liter sehari akibat penggunaan tidak cermat yang banyak berlaku di tandas atau mencuci barang keperluan secara berlebihan.

Jumlah yang dibazirkan itu boleh digunakan untuk mengisi kira-kira 200 buah kolam bersaiz olimpik. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya