Dana deposit RM100 juta diguna bina rumah Smart Sewa

Sidang DUN Selangor: Dana deposit RM100 juta diguna bina rumah Smart Sewa

Skim Smart Sewa
AMIRUDIN Shari meninjau perumahan baharu Rumah Selangorku Kemuning Idaman selepas menyerahkan kunci kepada penerimanya di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menggunakan dana RM100 juta yang diumum dalam Belanjawan Selangor 2023 bagi pembiayaan deposit pembelian Rumah Selangorku digunakan untuk pembelian rumah yang dijadikan skim Smart Sewa.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, dana tersebut digunakan bagi kemudahan rumah di bawah skim berkenaan untuk diduduki rakyat selama lima tahun sebelum mereka membeli kediaman lain.

“Sebab itu kita gunakan duit itu dan konsepnya sama, kalau kita guna untuk deposit mungkin masalah teknikal penggunaan kewangan itu akhirnya kita belikan rumah dan jadikan Smart Sewa dan tinggal selama lima tahun di situ.

“Apabila mereka keluar daripada penyewaan itu, kita kembalikan semula 30 peratus sebagai deposit untuk mereka membeli rumah atau mendapatkan rumah yang lebih sesuai,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang mempertikai peranan anak-anak syarikat kerajaan negeri dalam menepati sasaran pembinaan Rumah Selangorku sebanyak 200,000 unit menjelang 2027.

Beliau mendakwa, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dikatakan gagal menyediakan seunit rumah di bawah skim tersebut sepanjang tahun lalu sekali gus meragui kemampuan anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk menepati sasaran berkenaan.

“Persoalan saya ialah, bagaimana kerajaan negeri dapat menepati sasaran 200,000 itu sekiranya anak syarikat kerajaan negeri sendiri seperti PKNS gagal membina satu unit rumah pun sepanjang tempoh 2024.

“Sebentar tadi, yang berhormat memberitahu kerajaan negeri akan memantau pemaju-pemaju itu. Bagaimana kita hendak memantau pemaju swasta kalau pemaju hartanah dalam kalangan anak syarikat kerajaan negeri sendiri gagal menyambut saranan Menteri Besar,” tegasnya.

Bagaimanapun, Borhan yang juga ADUN Tanjung Sepat menjelaskan PKNS tidak terikat dengan dasar hanya menyediakan kediaman semata-mata, sebaliknya anak syarikat yang berusia lebih 60 tahun itu juga berperanan membangunkan prasarana serta pusat komersial.

“Mungkin keperluan pada ia ditubuhkan dahulu memerlukan satu pembangunan perumahan di negeri ini yang begitu hebat. Jadi, sekarang banyak pemaju-pemaju dan juga anak syarikat yang mengambil alih tugas PKNS.

“Sebab itu kita melihat kepada datanya, pada 2013 iaitu 10 tahun terakhir PKNS menyediakan 4,289 unit Rumah Selangorku. Tetapi sekarang, mungkin betul apa yang Hulu Kelang kata PKNS fokus kepada pembangunan dari segi komersial atau yang berkaitan yang membantu kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya