KUANTAN: Polis Pahang dalam peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan terhadap wanita bernama Faridah Daud yang mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebaik sahaja dilengkapkan, ia akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Katanya, selain keterangan wanita terbabit, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara berkaitan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat.
“Untuk kes wanita itu, kita sudah dapat mengesan wanita ini dan telah diambil percakapannya. Kita dapat kesan wanita ini di Perak.
“Siasatan awal mendapati wanita ini berusia 38 tahun, memiliki seorang anak dan tidak mempunyai pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Kata Yahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Istana Pahang menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja membabitkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung April tahun ini. – UTUSAN