PETALING JAYA: Kos sewa tinggi menjadi antara alasan kepada segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk berkongsi rumah beramai-ramai sehingga ada yang bercampur jantina lelaki dan perempuan bukan muhrim.
Sebelum ini, trend itu sering melibatkan pelajar IPT di luar negara berikutan mereka terpaksa berkongsi kediaman bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang tinggi, namun kini, ia mula melibatkan pelajar tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan pelajar memberi alasan yang sama, iaitu mahu mengurangkan kos perbelanjaan apabila harga sewa rumah atau bilik boleh mencecah RM1,000 sebulan, terutamanya di kawasan bandar.
Bagi menampung kos itu, mereka akan berkongsi rumah, malah tidak kisah bercampur dengan lelaki dan perempuan dengan ada dalam kalangan mereka merupakan pasangan kekasih.
Seorang pelajar IPT awam yang hanya mahu dikenali sebagai Nabil memberitahu, dia mula menyewa rumah selepas tidak memperoleh penempatan dalam kampus.
“Rata-rata rumah di kawasan universiti saya disewa pada harga antara RM700-RM1,000 sebulan, jadi kami terpaksa menyewa beramai-ramai bagi mengurangkan kos.
“Saya tidak nafikan ada yang menyewa campur dengan lelaki dan perempuan, namun situasi itu bukan perkara baharu ketika ini.
“Walaupun duduk bercampur, kami masih boleh buat hal sendiri tanpa mengganggu penghuni lain,” katanya.
Ditanya mengenai pergaulan bebas dan tiada batasan antara penghuni lelaki dan perempuan, pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu, mereka selalunya enggan mengambil tahu apa yang dilakukan rakan-rakan selagi tidak mendatangkan masalah.
“Kami lebih selesa buat hal sendiri, apa yang berlaku di antara penghuni lelaki dan perempuan, itu terpulang pada mereka, asalkan tidak jadi masalah besar atau kes polis.
“Tetapi sebagai pelajar, kami perlu tahu batasan dan memahami setiap perbuatan pasti ada kesan, sama ada baik atau buruk,” ujarnya.
Seorang pelajar kolej swasta yang dikenali sebagai Linda, 21, memberitahu, dia pada mulanya kurang selesa jika menyewa bersama penghuni lelaki, namun situasi itu seolah-olah sudah menjadi kebiasaan, terutamanya di kawasan bandar.
“Pada mulanya saya terkejut apabila rumah sewa yang saya mahu duduki ada penghuni lelaki, namun saya diyakinkan bahawa mereka tidak mengganggu malah sudah ada kekasih yang turut tinggal bersama di rumah berkenaan.
“Saya duduk di rumah berkenaan sebulan sahaja sebelum berpindah ke rumah yang lain kerana berasa kurang selesa, selain perlu menjaga aurat setiap masa.
“Alasan untuk mengurangkan kos sehingga mengajak penghuni berlainan jantina menyewa sekali pada saya amat tidak wajar kerana kita ada pilihan sama ada untuk buat atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar IPT, Adrian Hanafi, 21, berkata, dia tidak bersetuju dengan tindakan menyewa rumah bercampur lelaki dan perempuan.
Katanya, situasi itu boleh dielakkan walaupun jumlah penghuni yang menyewa tidak ramai.
“Tiada alasan untuk sewa campur lelaki perempuan sedangkan kita tahu bukan muhrim tidak boleh duduk bersama. Kalau pelajar bukan Islam mungkin tidak jadi masalah. Soal tidak kisah sebab masing-masing buat hal sendiri juga tidak boleh dipandang ringan.
“Takkan kita mahu lihat rakan-rakan kita buat maksiat sehingga mengandung luar nikah? Perkara itu boleh dielak jika kita faham situasi. Kita tidak boleh menghalalkan apa jua keadaan demi kepentingan sendiri,” katanya.
Eksekutif Pembangunan Mahasiswa Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin mengakui trend menyewa rumah berbeza jantina sudah lama berlaku.
Katanya, ia berikutan kekangan penempatan dan kadar sewa yang tinggi di sesetengah lokaliti, namun ia tidak seharusnya dijadikan norma baharu, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar beragama Islam.
“Semua pemegang taruh yang terlibat dengan universiti atau kolej, sama ada persatuan pelajar luar kampus, persatuan alumni bahkan pengurusan harus mengambil inisiatif untuk mengumpul data pelajar dan membuat rondaan secara berkala di sekitar kawasan tertentu, terutamanya kawasan yang menjadi penempatan pelajar.
“Mungkin pihak pengurusan boleh merekod alamat rumah yang disewa pelajar untuk tujuan pemantauan dan keselamatan sekiranya berlaku hal tidak diingini.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga perlu melihat isu ini dengan lebih mendalam, selain mewujudkan dasar penempatan untuk golongan pelajar,” katanya.-UTUSAN.