KUALA KANGSAR: Tertekan akibat kehilangan pekerjaan mendorong Noor Hamidah Zainal Abidin, menjalankan perniagaan menjual air kopi secara bergerak di bahagian but keretanya.
Setiap hari, wanita berusia 39 tahun itu akan memandu Perodua Viva mencari lokasi tumpuan di Lenggong atau Kuala Kangsar menjual air kopi buatannya.
Hamidah mula menjalankan perniagaan tersebut pada 1 Jun 2024, tiga hari selepas dia kehilangan kerja sebagai kerani kewangan dan jurujual.
Baginya, konsesp ‘car boot’ lebih fleksibel kerana ia tidak memerlukan kos sewaan yang tinggi serta mudah bergerak dan sesuai bagi individu sepertinya yang baharu dalam perniagaan.
“Dapat idea untuk menjual kopi apabila saya menghasilkan pemanis mulut dalgona ais. Disebabkan minat terhadap kopi juga, maka saya terfikir untuk berniaga.
“Memandangkan tiada tempat khusus untuk sewa berniaga, saya memilih buat jualan secara bonet kereta. Saya sekarang sepenuh masa menjual kopi. Umur pun semakin meningkat, peluang mendapat yang sesuai agak agak tipis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia yakin dengan perniagaan tersebut atas kepercayaan trend orang ramai menggemari kopi serta menilai sambutan yang diterimanya sendiri sejak lebih enam bulan berniaga.
“Di pekan Sauk biasanya bawah 15 cawan terjual sehari. Kalau di Tasik Raban dan Kuala Kangsar boleh dapat dalam 30 cawan. Ada pelanggan tetap, ada yang baharu. Setakat ini maklum balas diterima daripada pelanggan adalah melegakan,” katanya.
Hamidah merancang menghadiri kursus barista untuk meningkatkan kualiti kopinya dan mempelbagaikan produk minuman, serta menerokai pasaran baharu di merata tempat.
“Cuma masih mencari modal untuk menaiktaraf ruang kereta supaya lebih selesa. Contoh tambahan khemah kecil dan bekalan tenaga elektrik,” katanya yang selesa dengan kerjaya baharu tersebut kerana lebih santai dan kurang tekanan.