SHAH ALAM: Tindakan senarai hitam akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang mengalibabakan tapak bazar Ramadan disewa mereka daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun tiada laporan kes serupa pada tahun lalu, namun isu tersebut tetap dipandang serius.
“Kita akan bertindak tegas kepada sesiapa yang mengalibabakan surat-surat (permit) bazar Ramadan atau pun sewa atas sewa terhadap surat-surat itu. Kita akan senarai hitam dan tidak benarkan untuk diniagakan (berniaga lagi). Apatah lagi apabila ia melibatkan kos yang tinggi kepada tapak-tapak yang kita siapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) 2025, hari ini.
Tambahnya, PBT seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memantau kegiatan sedemikian di tapak bazar Ramadan melibatkan kawasan tumpuan dari masa ke semasa setiap kali bulan mulia tersebut tiba.
Sementara itu, mengulas mengenai FESTIRA 2025 Amirudin memberitahu, sasaran pengunjung tahun ini adalah tiga juta orang berbanding tahun lalu seramai dua juta pengunjung.
“Ia disebabkan ada penambahan lokasi perniagaan yang terlibat dengan FESTIRA 2025 iaitu di Galeria SA Central yang terletak di Seksyen 14.
“Tahun-tahun sebelum ini lokasi FESTIRA adalah di Kompleks PKNS, SACC Mall,Kompleks PKNS Bangi serta Plaza Alam Sentral kini satu lokasi telah ditambah,” ujarnya.
Selain 1,500 gerai jualan barangan untuk sambutan Aidilfitri di kesemua lokasi tersebut pada FESTIRA 2025 pihak penganjur turut mengadakan koloborasi dengan rakan strategik seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Syarikat Bateriku.Co,Tourism Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). – UTUSAN