PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menangguhkan segala pembayaran yang membabitkan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) bagi mengkaji semula syarat baharu oleh Bahagian Penganjuran Pendidikan MARA.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, beliau mendengar segala maklum balas ibubapa dan pelajar-pelajar mengenai syarat baharu yang dikeluarkan
Beliau berkata, polisi baharu ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan dan implikasi kepada pelajar-pelajar IPMA.
“Saya telahpun meminta pengurusan MARA mengambil tindakan segera untuk mengkaji balik polisi baharu ini yang dibuat tergesa-gesa tanpa ambil kira kesan dan implikasi kepada pelajar-pelajar semasa IPMA yang dijanjikan dengan pembiayaan pelajaran.
“Sehingga keputusan dibuat, segala pembayaran IPMA, saya sudah minta ditangguhkan,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, ramai pelajar IPMA berdepan kekecewaan apabila permohonan pinjaman pelajaran MARA di bawah Tajaan Pendidikan Mara (TESP) 2024 ditolak.
Lebih menyedihkan, setelah menunggu selama dua bulan keputusan permohonan tersebut diklasifikasikan sebagai tidak layak meskipun mereka yakin bahawa pencapaian akademik mereka sepatutnya melayakkan mereka untuk menerima pembiayaan.
Keputusan ini menimbulkan persoalan serta kebimbangan, terutamanya bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada pinjaman ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.