Selangor wujudkan Garis Panduan Amalan Tarekat tahun ini

Selangor wujudkan Garis Panduan Amalan Tarekat tahun ini

Garis panduan
SELANGOR akan mewujudkan Garis Panduan Amalan Tarekat pada tahun ini bagi melaksanakan penguatkuasaan terhadap amalan-amalan sedemikian yang menyimpang. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor akan mewujudkan Garis Panduan Amalan Tarekat pada tahun ini bagi mengekang amalan yang bertentangan dengan akidah serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan aktiviti sedemikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah pun bertitah mengenai keperluan mewujudkan panduan, silibus khas atau peraturan yang khusus meengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Selangor optimis dengan usaha dilakukan oleh Negeri Sembilan yang mewujudkan Enakmen Tarekat Tasawuf 2005.

“Ketika Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah: Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah pada 25 November tahun lalu, baginda bertitah mengenai keperluan mewujudkan garis panduan khusus.

“Salah satu resolusi yang dikeluarkan adalah keperluan merangka undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen, panduan atau silibus khas berkaitan penguatkuasaan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyiddin keperluan mewujudkan enakmen berkaitan tarekat seperti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan.

Selain itu, beliau turut menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh yang berkenaan kemungkinan kewujudan amalan tarekat yang dikenal pasti sesat dan tindakan diambil terhadap pihak terlibat.

Jelas Mohammad Fahmi, soal kewujudan amalan tarekat yang menyimpang itu perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti, namun memaklumkan tiada tindakan dapat diambil berikutan tiada garis panduan bagi pelaksanaannya.

“Kita tidak boleh ambil tindakan sebab tiada garis panduan, sekarang tidak boleh buat penguatkuasaan. Jadi, tiada asas melainkan ajaran yang benar-benar menyimpang.

“Tetapi kalau kita sebut soal salah akidah itu pun seperti yang berlaku pada Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) baru-baru ini, untuk mendapatkan bukti itu bukan mudah yang pernah diperlakukan seawal 2019, jadi bukan mudah.

“Tetapi, harapannya dengan garis panduan itu, bermakna untuk rakyat untuk menilai mana yang baik dan tidak, untuk mengambil tindakan penguatkuasaan pun boleh kita lakukan nanti,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya