SHAH ALAM: Selangor menghulurkan bantuan persekolahan kepada kanak-kanak Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang akan memasuki pendidikan arus perdana di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan bermula 17 Februari ini.
Sumbangan tersebut diberikan kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terdiri daripada pakaian seragam, stoking, kasut dan beg sekolah.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, seramai 200 kanak-kanak penerima pada sumbangan kali ini dan akan ada lagi penerima dalam kalangan mereka selepas ini.
“JAIS dan MAIS memberikan bantuan kewangan sebanyak RM400 kepada setiap kanak-kanak itu untuk digunakan sebagai persediaan membeli keperluan lain bagi mereka bersekolah.
“200 kanak-kanak itu merupakan kumpulan pertama yang mendapat bantuan. Insya-Allah, ada lagi kanak-kanak GISBH yang akan mendapat bantuan sama,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Persekolahan kepada 200 Anak-anak GISBH, hari ini.
Jelasnya, kesemua kanak-kanak berkenaan sudah pun mendaftar di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan oleh ibu bapa mereka di kawasan berhampiran tempat tinggal.
“Saya berharap mereka akan diterima dengan positif seperti mana kanak-kanak lain. Anak-anak GISBH sama seperti kanak-kanak normal lain, mereka juga ingin menjalani kehidupan seperti orang lain.
“Harap sekolah dapat memberikan sokongan moral kepada anak-anak GISBH, yang juga ingin berjaya dalam hidup mereka,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 400 kanak-kanak GISBH di Selangor dikembalikan ke pangkuan ibu bapa masing-masing sejak 20 November tahun lalu selepas mendapat perintah mahkamah.
Bagaimanapun, Mohammad Fahmi sebelum ini memaklumkan seramai 11 lagi kanak-kanak masih diletakkan di bawah jagaan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana masih belum dikenal pasti ibu bapanya.
Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun memberitahu dia teruja menerima bantuan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk memasuki sekolah tidak lama lagi.
“Saya tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan dekat sebuah kebangsaan di Rawang. Bila besar nanti, saya mahu jadi chef kerana minat menonton rancangan masakan dalam media sosial,” kongsinya. – UTUSAN