IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kehilangan rakan baik berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Saharuddin.
Menurutnya, beliau rapat dengan Allahyarham sejak sebelum Ishsam menjadi Ketua UMNO Bahagian Tapah, seterusnya menjadi wakil rakyat.
Malah sebelum itu sudah lama saling mengenal sejak Ishsam menjadi pemain bola sepak.
“Kerajaan negeri menyatakan rasa dukacita, bersedih dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Kali terakhir saya jumpa beliau ialah pada hari Jumaat, petang apabila saya mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah PKNP dan dia salah seorang yang turut bercakap memberi pendapat dalam beberapa isu dibincangkan,” katanya selepas menziarah jenazah Allahyarham Ishsam Shahruddin di Desa Sri Ampang di sini, semalam.
Saarani berkata, Ishsam akan dikenang sebagai wakil rakyat yang memberi perkhidmatan baik kepada masyarakat.
Katanya, semasa belum menjadi wakil rakyat, Ishsam sering kali datang berjumpa, berbincang untuk mengajukan masalah atau isu dan permohonan dari pengundi dalam kawasan dia.
“Saya tak dapat elak untuk meluluskan permohonan beliau sebab berkaitan dengan kehendak ataupun kebajikan bagi rakyat dalam kawasan dia,” katanya.
Jenazah Ishsam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh, pada kira-kira pukul 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, serta rakan-rakan Allahyarham, termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan Azizol Abu Haniffah dan Ahmad Shahrul Azhar.
Bekas pemain kebangsaan itu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, kira-kira pukul 6 petang kelmarin dan dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan lanjut. – UTUSAN