Santan segar naik harga, peniaga tiada pilihan - Utusan Malaysia

Santan segar naik harga, peniaga tiada pilihan

ROHAIDA Othman mengisi santan segar ke dalam plastik untuk dijual di premisnya di Pasar Singgah Selalu, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Para peniaga santan di daerah ini tiada pilihan apabila terpaksa menaikkan harga bahan mentah itu ekoran kenaikan harga kelapa secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.

Peniaga di Pasar Singgah Selalu, Taman Ria Jaya, Rohaida Othman, 50, berkata, kenaikan harga tidak dapat dielakkan demi memperoleh sedikit keuntungan apabila menjualnya dengan harga RM18 sekilogram.

“Saya mula menjual santan dengan harga baharu berban­ding harga lama sebanyak RM14 sekilogram berikutan bekalan kelapa diperoleh daripada pembekal melebihi harga biasa sejak Januari lalu.

“Berbanding sebelum ini harga satu tan kelapa ialah RM2,700 tetapi bermula awal tahun ini saya terpaksa bayar RM3,500 untuk memperoleh bekalan itu. Ia menyebabkan saya terpaksa menjualnya dengan harga baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, peniaga di Pasar Taman Ria, Dahlan Hamid, 52, berkata, harga kelapa me­ningkat melebihi 50 peratus iaitu RM3.50 berbanding RM1.90 sejak akhir Disember lalu.

“Kami terpaksa membelinya kerana ini punca pendapatan utama menyara keluarga dan pada masa sama terpaksa menaikkan harga demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Walaupun kenaikan ini membebankan pembeli, kami tiada pilihan, dijangkakan harga santan akan naik lagi menjelang Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, peniaga santan dan kelapa di Pasar Besar Sungai Petani, Salbiah Yaacob, 60, berkata, sejak kelapa me­ngalami kenaikan harga, dia tidak lagi membeli secara pukal sebaliknya membeli kelapa yang siap diproses dalam usaha meneruskan perniagaan diusahakan sejak 16 tahun lalu.

“Meskipun harga kelapa siap dikopek turut mengalami kenaikan daripada RM4.30 seki­logram kepada RM8.60 tetapi sekurang-kurangnya kami tidak lagi berdepan dengan masalah kelapa rosak, isi nipis serta buah kelapa kecil.

“Berbanding harga jualan santan sekarang antara RM14 dan RM15 sekilogram kami mampu hidup walaupun keuntungan nipis,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN