SHAH ALAM: Tindakan penguatkuasaan perlu diambil terus oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah dan tanah (PDT) terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti melupuskan sampah secara haram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan perlu diambil bagi menyelesaikan terus isu tapak pelupusan sampah haram di negeri ini terutama dekat Kampung Seri Sentosa di Ijok, Kuala Selangor yang didapati semakin melebar.
Menurutnya, kompaun atau denda yang dikenakan tidak akan berkesan dan tapak pelupusan sampah haram itu pasti akan kembali beroperasi.
“Tetapi, kerajaan negeri kena ada political will, itu kena buat, bukan sahaja di Jeram bahkan di tempat-tempat lain, termasuk di kawasan Jeram.
“Tidak boleh sita dan kompaun kerana ada loophole di setiap PDT, pemilikan tanah mesti diketahui, siapa tuan tanah. Apabila tuan tanah membenarkan tanahnya dilonggokkan sampah dan sebagainya, dalam undang-undang boleh buat lebih daripada menyita.
“Sitaan dilakukan cuma letak pita. Kerajaan negeri kena tegas, saya sebagai ADUN bersama penduduk sudah berkali-kali pergi buat aduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Harrison, beliau kesal kerana perkara itu sudah tiga kali dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun lalu, namun tiada penyelesaian walaupun berterusan dilaporkan di dalam akhbar.
Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor menyatakan peningkatan denda atau hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam pelupusan sampah secara haram didakwa tidak menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, situasi sama berlaku terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan aktiviti pencemaran sungai walaupun selepas pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dikuatkuasakan pada 2020.
Justeru, Harrison memberitahu, lebih dikesalkan apabila tapak pelupusan sampah haram di kawasannya itu terletak bersebelahan jalan utama iaitu Jalan Sungai Buloh – Kuala Selangor sepanjang kira-kira 2.5 kilometer.
“Kawasan-kawasan seperti di Kampung Seri Sentosa itu, ia di tepi jalan bukannya dalam hutan, sesiapa pun boleh nampak. Kita boleh nampak pita itu dibuat, lepas seminggu habis.
“Masakan kita hendak harapkan penduduk bawa keluar kayu, parang dan sebagainya. Itu masalah dan ia berlarutan,” tegasnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tapak pelupusan sampah yang beroperasi lebih 10 tahun dekat Kampung Seri Sentosa itu semakin melebar sehingga melebihi 52 hektar.
Lebih teruk lagi, bau busuk terutama ketika hujan begitu ketara selain limpahan airnya yang mengalir ke Sungai Buloh dan debu tebal ketika cuaca panas mengotorkan rumah, premis perniagaan dan jalan raya.
Keluasan kawasan itu melebihi separuh daripada keluasan Istana Negara yang boleh memuatkan 72 padang bola sepak, 12 Menara Berkembar Petronas atau tiga kompleks Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN