PENAMPANG: Rakyat Sabah dan Sarawak kini tidak perlu lagi menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan wang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) susulan langkah memperluaskan penyaluran bantuan melalui MyKad.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, melalui penyaluran sumbangan terus kepada MyKad, rakyat boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk membeli barang keperluan asas di pasar raya terpilih.
Beliau berkata, sebelum ini STR disalurkan secara tunai melalui akaun penerima manakala, Sara pula disalurkan secara tunai sebanyak dua kali setahun kepada penerima di Sabah dan Sarawak.
Namun, disebabkan masalah logistik, pemberian Sara secara tunai biasanya mengambil masa yang lama untuk sampai kepada penerima.
Justeru, langkah Kementerian Kewangan memperluaskan penyaluran Sara melalui MyKad ke Sabah dan Sarawak bermula tahun ini akan memudahkan rakyat di kedua-dua negeri ini.
“Jadi, bermula tahun ini di Sabah dan Sarawak juga akan mengguna pakai terminal yang diberikan kepada pasar raya terlibat untuk membolehkan MyKad digunakan ketika membuat pembayaran.
“Malah, pengguna juga boleh menyemak baki yang terdapat dalam MyKad mereka. Kaedah ini jauh lebih mudah untuk rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya semasa Program Jualan Tunai Rahmah Madani (PJRM) Kembali Ke Sekolah di ITCC Penampang, semalam.
Menurut Armizan, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan mempertingkatkan peruntukan STR dan Sara daripada RM10 bilion pada tahun lalu kepada RM13 bilion tahun ini.
Jelas beliau, pasar raya yang ingin menyertai program di bawah Kementerian Kewangan boleh mengemukakan permohonan agar premis mereka menjadi salah satu premis untuk rakyat membeli barang keperluan asas menggunakan MyKad.