PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 sebagai langkah memastikan kebebasan institusi Parlimen bakal dibentangkan dalam Sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu merupakan hasrat kerajaan untuk memperkasa institusi Parlimen dan antaranya mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang dipengerusikan secara bersama Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Katanya, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan.
“Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac depan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
Katanya, penggubalan undang-undang ini adalah bukti iltizam Kerajaan Madani terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan prinsip pemisahan kuasa antara badan Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman.
Katanya, perkara itu bermakna Parlimen harus memiliki perundangan sendiri seperti Eksekutif di bawah Perdana Menteri dan Kehakiman dipimpin oleh Ketua Hakim Negara.
Sebelum ini, kumpulan masyarakat sivil mencadangkan agar RUU Perkhidmatan Parlimen memberikan autonomi penuh kepada institusi Parlimen, termasuk dalam aspek pentadbiran dan kewangan.
Cadangan itu seiring dengan usaha Kerajaan Madani dalam memperkasa Parlimen sebagai badan semak dan imbang yang bebas dan berkesan. – UTUSAN