Rugi RM 6.7 juta terpedaya skim pelaburan mesin layan diri - Utusan Malaysia

Rugi RM 6.7 juta terpedaya skim pelaburan mesin layan diri

RAMLI Mohamed Yoosuf
RAMLI Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 58 laporan polis berkaitan skim pelaburan mesin layan diri yang dianjurkan syarikat JV Smart Vending Sdn. Bhd. dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM6,787,265.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, syarikat tersebut menawarkan beberapa pakej pelaburan dan menjanjikan keuntungan berbeza mengikut pakej yang disertai namun gagal membayar keuntungan yang dijanjikan.

“Menurut siasatan awal, ramai pelabur tidak menyedari sama ada mesin layan diri yang didakwa oleh syarikat tersebut benar-benar wujud atau sekadar rekaan semata-mata.

“Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim pelaburan, terutamanya yang melibatkan perkongsian perniagaan seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelabur yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan mesin layan diri perlu berhati-hati dan menyemak sama ada mesin yang didakwa benar-benar wujud atau sebaliknya.

“Jika menjadi mangsa penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguatkuasa seperti PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil bagi mendapatkan kembali kerugian yang dialami.

“Kami ingin menegaskan bahawa membuat aduan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak akan membantu mendapatkan semula wang yang telah dilaburkan ataupun mempercepatkan siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Difahamkan, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26101222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya