Remaja maut, motosikal terbakar

Remaja maut, motosikal terbakar

KEADAAN motosikal mangsa yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.-IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga maut apabila motosikal yang ditunggangnya yang tidak lepas memotong sebuah kenderaan terbakar selepas bertembung dengan kereta di atas Jambatan Sultan Yahya Petra di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu, mangsa, Muhammad Adam Abdullah, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan awal 30-an sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Pekan menghala ke Kota Bharu di atas jambatan itu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, namun gagal sebelum memasuki semula ke laluannya.

“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa bertembung dengan kereta jenis Perodua Viva tersebut.

“Penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, pemandu kereta itu mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu,Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sebuah motosikal kira-kira pukul 11.14 malam sebelum seramai 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Ujarnya, anggota bomba melakukan operasi memadam kebakaran dan membersih tumpahan minyak di lokasi kejadian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya