KOTA BHARU: Polis Kelantan giat memburu seorang individu kenali sebagai Mohd. Faizal Hanafi, 39, bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah jenis syabu bernilai RM6.4 juta yang ditemukan dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero miliknya di Kampung Bechah Resak di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut memburu seorang lagi rakannya yang turut melarikan diri selepas diserbu oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai masih berada di negeri ini dan usaha mengesan mereka sudah digerakan.
“Selain dadah seberat 200 kilogram (kg), kita turut menjumpai telefon bimbit milik Mohd. Faizal. Hasil semakan kita mendapati suspek telah menghubungi isteri dan memintanya supaya melarikan diri.
“Kita sudah mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan usaha mengesannya. Pada masa sama, polis sudah bertemu dan merakam percakapan isteri Mohd. Faizal,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek supaya menghubungi balai terdekat bagi membantu siasatan.
Katanya, sebelum itu anggota PGA yang melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan telah bertindak mengekori pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan sejauh 15 kilometer. Jalan Kasban menghala ke Sekat Pintas Nibong.
“Semasa mahu menahan kenderaan itu, pemandunya telah bertindak melarikan diri dan merempuh penghalang jalan di Sekat Pintas Nibong. Anggota PGA bertindak mengejar kenderaan itu sehingga ke Kampung Bunohan.
“Suspek bertindak menghimpit kenderaan anggota. Pacuan empat roda dinaiki suspek kemudian telah pancit dan berhenti di Kampung Bechah Resak. Kedua-dua suspek terus keluar dan melarikan diri ke kawasan kampung tersebut,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata,disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, dadah tersebut boleh digunakan oleh 2 juta penagih jika terlepas ke pasaran.-UTUSAN