PENDANG: “Saya cuba pegang tangan Haidhar, tetapi terlepas sebab arus sangat deras.
Demikian cerita Muhammad Iqbal Mohd. Rodzi, 17, rakan kepada Allahyarham Nur Haidhar Nasrul, 17, yang lemas setelah motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Padang Terap, Titi Chegar, di sini semalam.
Muhammad Iqbal yang sama sekolah dengan mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sik berkata, dia trauma menyaksikan rakan baiknya tenggelam selain kecewa kerana gagal menyelamatkan mangsa.
“Saya cuba paut tangan tetapi terlepas. Ada seorang pakcik yang terjun untuk bantu juga gagal sebelum Haidhar tenggelam. Saya sangat sedih. Saya dapat menyelamatkan diri setelah berjaya berenang ke tepi sungai.
“Saya tidak pasti keadaan sebenar Haidhar adakah dia tercedera ketika terlanggar tembok tepi sungai sewaktu kami terjatuh. Kejadian berlaku sekelip mata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kata Muhammad Iqbal, mereka bertiga termasuk seorang lagi rakan, Mohamad Zawaata Afnan Mohamad Fuzi, 17, keluar rumah pada pukul 5.30 petang untuk bersiar-siar.
“Kami menaiki dua motosikal. Arwah jemput saya di rumah. Kami keluar makan-makan dan ke kedai pakaian terpakai di Pendang. Sewaktu kejadian kami dalam perjalanan pulang ke rumah dan guna jalan pintas di situ.
“Saya yang menunggang motosikal dan arwah membonceng. Bila tiba di lokasi sebuah kereta laju dan berselisih. Ketika elak kereta itu motosikal kami terbabas ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, suasana di lokasi pencarian menjadi sayu dengan tangisan dan jeritan adik mangsa, Muhammad Arman, 11, yang berteriak memanggil nama abangnya agar pulang.
Bapa mereka, Nasrul Noorul’in, 45, berkata, kedua-dua anaknya sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan apatah lagi mangsa yang juga anak sulung pulang bercuti dari asrama selama sebulan.
“Sejak balik bercuti ini memang tidak dapat dipisahkan. Tidur pun bersama. Bila dapat tahu kemalangan ini, Arman paling terkesan. Sejak semalam tidak boleh tidur dan meracau nama abangnya.
“Kami risau dengan Arman dan saya harap dia juga tabah serta reda dengan ketentuan Allah SWT. Jalan di lokasi kejadian sering digunakan anak untuk ke rumah neneknya yang terletak berdekatan,” katanya.