SEREMBAN: Bakat muda baharu dalam industri seni dan kreatif dijangka dapat dicungkil menerusi Projek Seni Noghori 9 yang buat julung kalinya diadakan.
Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz berkata, projek itu turut mendapat kerjasama artis terkenal tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk Hattan, Datuk Aishah, Ito, Waris dan Suki yang akan bertindak sebagai mentor serta berkongsi pengalaman mereka.
“Melalui bengkel dan pertandingan bakat di tujuh buah daerah di negeri ini, projek itu akan memberikan banyak peluang kepada belia untuk menonjolkan diri dengan cara yang positif.
“Kami berharap agar para peserta dapat belajar untuk mengembangkan kemahiran sosial mereka serta meningkatkan keyakinan diri antaranya melalui pengucapan awam dan lakonan,” katanya ketika berucap pada Program Projek Seni Noghori 9 di Noghori Arts School @ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.
Tunku Zain yang juga anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkata, nadi utama projek ini iaitu Pertandingan ‘Noghori Ado Bakat’ adalah salah satu contoh bagaimana bakat-bakat baharu dapat dicungkil dalam kalangan belia yang bukan sahaja akan menyerikan industri seni tanah air tetapi memberi mereka peluang untuk berjaya dalam bidang diminati.
Sementara itu, Zainal Abidin yang bertindak sebagai pembimbing bagi projek berkenaan berkata, industri hiburan mempunyai ekosistem besar dan peluang yang cerah untuk anak bangsa berjaya serta maju.
“Bukan sahaja sebagai penyanyi, penari, pemuzik di pentas tetapi di belakang tabir sebagai jurutera bunyi, pengurus pentas yang perlu diteroka anak muda.
“Kita hendak cungkil bakat baharu dalam semua bidang industri seni tidak kira penyanyi, pelakon, pelukis, pelawak dan sebagainya,” katanya.
Zainal Abidin berkata, beliau percaya bahawa seni dan budaya mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan melalui projek itu diharap ia dapat menyalakan api kreativiti anak muda di seluruh Negeri Sembilan.
Projek Seni Noghori 9 melibatkan murid-murid sekolah berusia 13 hingga 17 tahun melalui jelajah di tujuh buah daerah di Negeri Sembilan. – UTUSAN